Sunday, February 14, 2010

Satu Kehilangan




14 Ogos 2009-Catatan duka sekali lagi terpahat dalam diari hidup kami sekeluarga iaitu perginya ayahanda mertuaku ke rahmatullah.Sangat sedih kerana kami kehilangan doa daripada insan yang pastinya amat menyayangi dan ikhlas berdoa untuk kesejahteraan kami selama ini.Beliaulah insan pertama yang sedia menghulurkan tangan saat kami kesusahan, juga insan yang paling menyayangi anak-anakku.
Masih ku ingati,suatu hari aku mendapat demam panas,suamiku pula tidak dapat pulang segera kerana tuntutan kuliah.Kedua-dua mertuaku sanggup menyewa kereta orang kampung,datang bermalam di rumahku untuk menjaga aku dan anak-anakku.Meskipun aku hanya seorang menantu...Ketika aku bersalin,ayah sanggup datang,menaiki dua biji bas untuk menziarahi aku.Bukan sekali dua,berkali-kali....
Ceritanya...seperti biasa ayah akan sembahyang jemaah di masjid.Tak pasti pulak malam tu dia menjadi imam atau tidak.Selesai solat Isyak, diadakan pula solat hajat diikuti bacaan Yassin.Ketika itulah ayah tumbang,katanya sesak nafas.Walaupun orang lain menawarkan diri menghantarnya ke hospital,ayah berkeras menunggu suamiku juga untuk membawanya.Sehingga pukul 5 pagi,ayah masih boleh bercakap.Sedihnya ,ayah meminta maaf daripada anak-anaknya dan menyatakan yang dia akan pergi selama-lamanya.Betapa rendahnya hati ayah..meminta maaf daripada anak sendiri.
Setelah lebih kurang 30 minit dibawa masuk ke CCU,doktor memberitahu ayah telah tiada.Bertambah sayu,khabar itu disampaikan ketika laungan pertama azan subuh berkumandang dari masjid berhampiran.Buat pertama kalinya juga,aku mendengar suara suamiku menangis dari hujung telefon.
Kalaulah tahu ayah akan pergi,tidaklah dibenarkan ayah dibawa masuk ke CCU,pergi menghadap Ilahi hanya dikelilingi doktor dan nurse,sedangkan anak-anaknya ada di luar.Tapi,siapalah kita untuk menduga semuanya.Sudah tertulis begitu.
Urusan pengkebumian berjalan lancar,hampir pukul 11,jenazah dibawa ke tanah perkuburan dan sekitar pukul 12 semuanya selesai.
Mudah-mudahan,segala amal ibadat,segala kebaikan yang dilakukan ayah sewaktu hayatnya diberkati Allah SWT.Semoga ditempatkan dalam kalangan hambaNYA yang soleh.

No comments:

Post a Comment